XiNzeRy Dot My

XiNzeRy.My

Petua Untuk Mengikis Tabiat Buruk


Tanpa disedari setiap daripada kita mempunyai tabiat buruk yang sukar untuk diubah. Berbicara mengenainya, sebenarnya terdapat pelbagai tabiat buruk yang dimiliki manusia. Sesetengah tabiat buruk itu boleh dilihat dengan jelas pada kelakuan seharian. Tabiat buruk seperti mengumpat, malas, tidak menjaga kebersihan dan sebagainya boleh diubah asalkan diiringi dengan niat dan usaha yang tinggi.

Tabiat suka mengumpat perlu dihindari kerana ia merosakkan hubungan sesama manusia.

Setiap kali menjamah makanan, kuah lauk yang diceduk ke pinggan pasti tertumpah terkena alas meja. Sedangkan perkara ini boleh diatasi jika kita merapatkan pinggan makan pada mangkuk lauk.

Ada juga orang yang memiliki tabiat suka meminjam barang orang. Pantang barang itu dia suka, pasti diminta pinjam.

Ada orang yang suka mengumpat. Pantang bila diajak berbual pasti ada yang diumpatkan. Ini menyebabkan orang yang diumpat teraniaya, sekali gus membuatkan individu tersebut membenci anda.

Ada juga orang yang suka mencari salah orang lain. Semua pandangan orang tidak diterima. Bagi dia hanya pandangan dan kata-kata yang dikeluarkan daripada mulutnya sahaja yang betul.

Petua Mengikisnya
1. Berperingkat-peringkat - Jika anda menginginkan suatu perubahan, jangan lakukan perubahan itu secara drastik, lakukanlah secara berperingkat-peringkat. Perubahan secara drastik dan mendadak akan membuat anda tertekan. Ini membuatkan anda merasa putus asa dan kembali pada tabiat yang asal.

2. Beringat Selalu - Jika anda telah ditegur rakan disebabkan tabiat buruk, cuba untuk berubah. Sentiasa beringat untuk tidak melakukan tabiat buruk tersebut pada masa akan datang. Tabiat buruk yang berulang-ulang menyebabkan rakan merasa jemu dan benci pada diri anda.

3. Mesti Ada Kemahuan dan Niat - Anda ingin berubah tetapi tidak memiliki kemahuan dan niat yang sungguh-sungguh. Jangan berharap perubahan itu akan berlaku jika tiada niat untuk berubah. Setiap satu perubahan yang diinginkan memerlukan kemahuan yang tinggi dan keazaman yang tidak berbelah bahagi.

4. Selami dan Fahami - Selami dan fahami dahulu tabiat buruk anda. Fikirkan impak negatif yang bakal anda peroleh jika tabiat buruk itu masih anda praktikkan.

5. Bersabar - Jangan mudah berputus asa jika anda masih mengulangi tabiat buruk tersebut. Memang tabiat buruk susah untuk dibuang. Ini kerana, perubahan melalui tahap dan proses yang panjang. Mungkin anda beringat untuk tidak melakukannya sekarang. Namun, tanpa disedari anda mengulangi semula tabiat buruk itu kemudian harinya.

6. Berdoa - Jika anda merasakan rakan-rakan menjauhkan diri disebabkan tabiat buruk anda itu, berdoalah memohon pada Tuhan agar tabiat buruk itu dapat anda buang. Jangan pula berdoa tetapi anda tidak berusaha untuk membuangnya. Seiringkan doa dengan usaha. Lama-kelamaan tabiat buruk itu dapat dibuang dari dalam diri anda.

0 Komentar untuk "Petua Untuk Mengikis Tabiat Buruk"

 
Copyright © 2014 XiNzeRy Dot My - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info