XiNzeRy Dot My

XiNzeRy.My

Tru Cam Elak tersilap kompaun



KEPALA BATAS: Penggunaan peralatan baru Tru Cam iaitu kamera perangkap laju mampu mengelakkan kesilapan polis trafik ketika mengeluarkan saman kepada orang ramai selain menjimatkan masa.
Ketika ini 25 unit kamera berkenaan sedia digunakan selain lima unit sudah diguna di Lembah Klang bagi mengesan pesalah trafik di lebuh raya.

Ketua Trafik Pasukan (Bukit Aman), Datuk Abd Aziz Yusof, berkata penggunaan Tru Cam lebih efektif dan menjimatkan masa selain mengelakkan kesilapan anggota trafik ketika mengeluarkan saman terhadap pemandu yang melanggar had laju.
Katanya, kamera baru berkenaan disertakan cip yang boleh dimuat naik terus ke dalam sistem komputer sebelum gambar yang dirakam polis trafik dihantar kepada pesalah.

“Penggunaan Tru Cam dengan resolusi tinggi lebih berkesan berbanding kamera lama selain lebih ringan. Yang penting, kita dapat mengurangkan aduan orang ramai yang sering mendakwa tidak mendapat gambar selepas mereka disaman kerana memandu laju.

“Walaupun jumlah Tru Cam masih tidak mencukupi, namun ia akan diguna secara bergilir mengikut daerah,” katanya selepas menutup Kursus Peralatan Tru Cam Siri 1/2011 di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Utara (IPDSPU), dekat sini, semalam. Hadir sama, Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, Superintendan Wan Aziz Wan Husin dan Timbalan Ketua Polis Daerah SPU, Superintendan Mohd Sukri Awang.
Seramai 35 anggota polis trafik dari Pulau Pinang, Kedah dan Perlis menyertai kursus tiga hari itu. Abd Aziz berkata, penggunaan kamera berteknologi tinggi itu juga secara tidak langsung meningkatkan tahap profesionalisme polis dalam menguatkuasakan undang-undang tanpa dipertikaikan orang ramai.

“Kita mahu jadi seperti beberapa negara maju yang mana tahap profesionalisme polis mereka tinggi. Jadi, orang awam yang melakukan kesalahan tidak berani mencabar keputusan polis selepas ditahan,” katanya.
0 Komentar untuk "Tru Cam Elak tersilap kompaun"

 
Copyright © 2014 XiNzeRy Dot My - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info