XiNzeRy Dot My

XiNzeRy.My

Hujan dijangka berterusan esok di Terengganu, Pahang, Kelantan, Perlis, Kedah


KUALA LUMPUR: Hujan sekejap-sekejap dan kadang kala lebat di Terengganu, Pahang dan Kelantan dijangka berterusan sehingga esok dan boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah, demikian menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.
Hujan sedemikian di Terengganu dijangka berlaku di daerah Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman sementara di Pahang di daerah Kuantan dan Pekan sementara di Kelantan di Tumpat, Pasir Mas, Kota Baharu, Bachok, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah, Kuala Krai, Jeli dan Gua Musang. 
Hujan sekejap-sekejap kadang kala sederhana pula turut diramal berlaku sehingga esok di Perlis iaitu di Padang Besar, Kangar dan Arau sementara di Kedah di Kubang Pasu, Padang Terap, Kota Setar, Pokok Sena, Pendang dan Langkawi.

Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 10.30 pagi tadi turut memaklumkan bahawa amaran hujan lebat (peringkat merah) di Terengganu dan Pahang yang dikeluarkan pada 5.35 petang semalam telah diturun taraf kepada amaran hujan lebat (peringkat jingga).

Ia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora (kategori kedua) dengan kelajuan 50-60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian 4.5 meter di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Samui, Condore, Reef North dan Layang-Layang akan berterusan sehingga Selasa depan.

Angin kencang dan laut bergelora (kategori pertama) dengan kelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai 3.5 meter di perairan Pulau Langkawi, Perlis, utara Kedah, Pahang, Johor timur, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah (pedalaman, Pantai Barat dan Kudat), Phuket, Tioman, Bunguran, Reef South dan Palawan juga diramal berterusan hingga Selasa depan.

Menurutnya kawasan pantai di pantai timur Semenanjung kini terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut. - BERNAMA
1 Komentar untuk "Hujan dijangka berterusan esok di Terengganu, Pahang, Kelantan, Perlis, Kedah"

salam

kat kedah dok mendung sahaja.. :)

kalau hujan nikmat kepada petani.

 
Copyright © 2014 XiNzeRy Dot My - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info