XiNzeRy Dot My

XiNzeRy.My

Gangster Menangis



BUKAN mudah untuk menggigit emosi penonton. Namun baik Lisa Surihani, Aaron Aziz mahupun Maya Karin Roelcke, setiap seorang mereka bakal meragut perasaan penonton menerusi Ombak Rindu - karya terbaru Osman Ali.
Malah jika penonton mengandaikan pelakon kacak seperti Aaron Aziz sukar menitiskan air mata, persepsi itu harus ditolak ke tepi apabila menyaksikan filem melankolik itu mulai 1 Disember ini.

Aaron yang pernah tampil dengan watak ‘gangster’ dalam filem Evolusi KL Drift dan KL Gangster jelas berjaya menunjukkan sisi lakon berbeza dalam filem drama berat itu.

Bergandingan bersama dua aktres terbaik iaitu Lisa dan Maya sudah tentu keserasian antara dua pelakon ini menjadi sandaran penting.


Menariknya, ini pertama kali mereka bertiga dipertemukan sebagai bintang utama.
Aaron menjadi sandaran terbaik selepas bergelar Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem pada Anugerah Skrin 2010 menerusi Evolusi KL Drift 2.

Memberi tarikan, lakonan cemerlang dua pelakon utama itu turut dibantu pelakon handalan Bront Palarae, Aizah Mahzan, Normah Damanhuri dan Zaidi Omar.

Nyata mereka menjadikan Ombak Rindu sebuah karya yang sarat dengan lakonan yang cemerlang dan meninggalkan impak.

Bagi Aaron, dia akui pengalaman melakonkan watak Hariz iaitu anak Datuk Sufiah lakonan Azizah Mahzan suatu mencabar dirinya sebagai pelakon.

Lebih sekadar menghayati karakter lelaki romantik mencintai dua wanita, Izzah (Maya) dan Mila (Lisa), Aaron berkongsi penghayatan cinta mendalam terhadap gadis yang jujur pada dirinya.

Mengikut plot cerita ini, Hariz bertemu Izzah selepas wanita itu dijual bapa saudaranya. Izzah diselamatkan Hariz sebelum mereka berkahwin secara rahsia tanpa pengetahuan kekasihnya, Mila dan ibunya.

“Saya tidak membaca novel ini kerana saya tidak suka apabila membacanya, ia mempengaruhi lakonan. Ini novel kelima yang saya lakonkan dan saya percaya ada perubahan dilakukan pengarah untuk menterjemah cerita itu lebih menarik.

“Sebagai pelakon, saya tidak mahu keliru dan mencampur aduk karakter dalam novel dengan lakonan saya dalam filem ini. Saya berlakon mengikut skrip dan lokasi juga memainkan peranan penting dalam mencetuskan mood.

“Apa yang mencabar adalah menghidupkan sesuatu adegan agar sampai pada penonton seperti mana yang digambarkan peminat novel ini.

“Tidak ketinggalan, aspek penyampaian dan sinematografi banyak membantu.

“Memang filem ini menonjolkan saya banyak menangis dan saya tidak tahu mengapa, mungkin kerana terlalu taksub dengan watak yang dilakonkan.

“Bagi saya, filem ini suatu yang segar kerana selalu peminat melihat watak antagonis pada diri saya sendiri,” kata Aaron ketika tayangan previu Ombak Rindu diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Maya pula memberi kelainan watak imej bertudung merujuk gadis kampung sebagai Izzah, berpandangan positif terhadap lakonannya kali ini.

Dia sangat menghormati ketika diberi kepercayaan membawa watak itu selepas membaca novel itu tujuh tahun lalu.

“Saya suka watak Izzah dan jatuh cinta terhadap watak Hariz. Apabila mendapat peluang berlakon filem ini, saya rasa ia suatu menyeronokkan apatah lagi melalui pengalaman menjalani penggambaran selama tiga minggu di Langkawi termasuk seminggu di Cameron Highlands.

“Saya suka cerita ini mungkin kerana saya berjiwa romantik. Saya suka apabila perasaan Izzah dan Hariz yang sangat mencintai satu sama lain tetapi sukar untuk nyatakan.

“Apa yang dilalui ketika penggambaran suatu yang mencabar di samping pengarah hebat dan setiap pelakon berupaya memberikan lakonan yang mantap,” katanya yang pernah bekerjasama dengan Osman menerusi Anak Halal dan Cun.

Pengalaman mencabar juga dirasakan Lisa melakonkan watak Mila yang teruja berlakon di bawah arahan Osman. Mendapat latihan bersama Osman dan pelakon berpengalaman, Ellie Suriati, Lisa berpandangan watak kali ini memberi kelainan pada penampilannya.

“Saya sendiri perlu baca novel ini untuk memahami karakter Mila. Selalunya, setiap filem mempunyai watak baik dan jahat tetapi Mila bukan jahat sebaliknya mempunyai sisi putih dan hitam.

“Bagi saya, melakonkan watak ini sebagai satu proses yang menarik dan saya berterima kasih pada Osman atas peluang yang diberikan. Malah, bekerjasama dengan pelakon lain banyak membantu dalam menyampaikan lakonan itu berkesan,” katanya.

Cabaran memberikan lakonan berkesan dikongsi Osman yang bertanggungjawab menterjemah novel asal diadaptasi ke layar perak. Sangat menghargai peluang diberikan produser, Sharad Sharan dari produksi Tarantella Pictures, peluang yang ditawarkan dianggap sangat berharga.

“Sudah lama saya impikan mahu mengarah filem yang diadaptasi novel tetapi belum dapat dan jarang diperolehi. Selepas ditawarkan projek ini, saya menghubungi penulis sebenar untuk berkongsi rasa dan saya fikir lebih selesa jika mendapat restunya kerana itu lebih bermakna.

“Skrip asal ditulis Arman Tono tetapi saya mengolah agar memenuhi budaya negara ini. Ikut skrip asal banyak watak yang diceritakan tetapi ia diringkaskan dalam filem.

“Seperti watak Izzah, saya gambarkan dia dengan karakter bertudung yang sesuai sebagai gadis kampung. Begitu juga, banyak latihan lakon dijalankan kerana pelakon harus bersedia berdepan persepsi peminat novel ini.

“Apabila menangani skrip yang bukan karya saya, perkara pertama harus saya lakukan adalah mencintai cerita itu sendiri dan paling penting ia sebati dengan jiwa saya,” katanya.

Kata Osman, olahan pada skrip asal penting yang disesuaikan dengan penonton tempatan. Malah, struktur asal plot cerita ini dikekalkan termasuk watak utamanya manakala beberapa adegan ditambah seperti lokasi di sawah padi.

Di sebalik debaran menantikan tayangan filem ini bermula 1 Disember, penulis novelnya Fauziah Ashaari meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap hasil filem ini.

“Saya tidak berpuas hati apabila melihat skrip ini ada campur tangan orang lain. Jika pembaca menghabiskan masa empat hingga lima jam membaca novel, filem pula hanya dua jam dan sub plot dipendekkan.

“Saya berharap mudah-mudahan karya ini menjadi filem terbaik dan saya tidak berhak menghakimi lakonan dalam filem ini.

“Apa yang saya harapkan sekiranya sesebuah novel itu mahu diadaptasi kepada filem, produser harus ringan mulut dan melantik penulis novel sebagai penasihat bersama,” katanya.

0 Komentar untuk "Gangster Menangis"

 
Copyright © 2014 XiNzeRy Dot My - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info