XiNzeRy Dot My

XiNzeRy.My

Guan Eng: Tiada aktiviti luar untuk PPS

GEORGETOWN - Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang tidak akan melakukan sebarang aktiviti kemasyarakatan walaupun tempoh jaminan penahanan 157 anggotanya yang berakhir semalam tidak dilanjutkan.
   
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, tidak ada aktiviti sehingga status pasukan itu diputuskan oleh mahkamah.  
   
Guan Eng berkata, bagaimanapun kerajaan negeri akan meneruskan tindakan untuk mencabar pengisytiharan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang PPS sebuah pertubuhan menyalahi undang-undang.  
   
"Kita akan teruskan usaha untuk tuntut keadilan dan kebenaran agar nama mereka tidak tercemar dengan tuduhan tidak berasas.
   
"Atau tuduhan menjalankan kegiatan dengan pertubuhan haram," katanya dalam sidang media di sini hari ini.  
   
Semalam Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisiten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, Pejabat Peguam Negara telah memulangkan semula kertas siasatan dan mahu polis menambah beberapa perkara bagi melengkapkan siasatan.

Pada 29 Oktober lepas, polis melanjutkan tempoh jaminan semua anggota PPS itu untuk kali kedua sehingga semalam, selepas kali pertama surat jaminan selama 30 hari dikeluarkan 30 September.
   
Pada 31 Ogos lepas, 154 anggota PPS ditahan kerana ingkar amaran untuk tidak menjalankan aktiviti selepas didapati tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
   
Ia disusuli penahanan anggota exco Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar yang merupakan pengerusi PPS, Phee Boon Poh, pada hari yang sama dan
anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima RSN Rayer sehari selepas itu, manakala Wei Aik pada 4 September.  
   
"Keputusan untuk tidak melanjutkan jaminan polis adalah kemenangan awal PPS atas kebenaran dan usaha murni mereka membantu pasukan polis menjaga negeri ini," kata Guan Eng. - Bernama
0 Komentar untuk "Guan Eng: Tiada aktiviti luar untuk PPS"

 
Copyright © 2014 XiNzeRy Dot My - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info