XiNzeRy Dot My

XiNzeRy.My

Seorang lelaki maut ditembak, seorang lagi parah


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditemui maut manakala seorang lagi parah dengan kesan tembakan dalam dua kejadian berasingan di Jinjang Utara dan Tasik Titiwangsa, di sini, semalam.
Dalam kejadian pertama di Jinjang Utara, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an dilaporkan kritikal dan kini masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas ditemui terbaring di bahu jalan dengan dua kesan tembakan iaitu di dagu kiri dan lehernya. 
Menurut sumber, pihak berkuasa percaya kejadian itu berlaku antara jam 12 tengah hari hingga 3.30 petang, sebelum dia (mangsa) dibawa ke hospital oleh orang awam.

“Laporan sebenar kejadian hanya dibuat pada jam 5.50 petang selepas mangsa diberikan rawatan di hospital berkenaan. Sehingga ini, kami masih menyiasat penyerang dan motif sebenar kejadian,” katanya.

Dalam kejadian kedua di Tasik Titiwangsa kira-kira jam 5 petang, seorang lelaki berusia lewat 20-an ditemui dengan kesan kecederaan di dada dipercayai kesan tembakan dalam sebuah kereta jenis Proton Waja.

Sumber berkata, mangsa ditemui seorang pengunjung tasik berkenaan yang mahu beriadah.

“Pengunjung terbabit yang curiga selepas melihat keadaan mangsa yang kaku di dalam kenderaan itu di tempat letak kenderaan kawasan berkenaan segera menghubungi polis.

“Sepasukan polis dan unit forensik yang bergegas ke lokasi kejadian mendapati mangsa seorang warga asing dan sudah mati di tempat kejadian namun identiti sebenarnya masih belum diketahui.

“Polis menemui kesan tembakan di dada mangsa sebelum mayatnya di bawa ke HKL untuk bedah siasat,” katanya memberitahu kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan kedua-dua kejadian itu dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan. HM
0 Komentar untuk "Seorang lelaki maut ditembak, seorang lagi parah"

 
Copyright © 2014 XiNzeRy Dot My - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info