XiNzeRy Dot My

XiNzeRy.My

459 kes demam denggi dilapor pada minggu ketiga 2012



KUALA LUMPUR: Sejumlah 459 kes demam denggi dengan dua kematian dilaporkan pada minggu ketiga dari 15 Jan hingga Sabtu lepas, sekaligus menyaksikan pengurangan sebanyak 22 kes dengan satu kematian berbanding minggu sebelumnya, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman.
Beliau berkata jumlah kematian pada tahun ini meningkat iaitu sebanyak empat berbanding satu kematian bagi tempoh sama pada 2011. 
"Pada minggu lepas sahaja, terdapat dua kematian dicatatkan masing-masing di Selangor dan Negeri Sembilan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Hassan berkata antara negeri yang menunjukkan peningkatan kes ialah Wilayah Persekutuan dan Putrajaya masing-masing dengan 18 kes (39 peratus), Kelantan 13 kes (72 peratus), Melaka 6 kes (50 peratus), Negeri Sembilan 3 kes (38 peratus), Terengganu 3 kes (30 peratus), Labuan satu kes (100 peratus) dan Pulau Pinang meningkat satu kes (enam peratus).

Beliau berkata pada keseluruhannya, sejak tiga minggu lepas, terdapat peningkatan kes di Wilayah Persekutuan dan Putrajaya.

"Tempoh tiga minggu pertama tahun 2012 sejumlah 1,380 kes dilaporkan berbanding 1,591 kes bagi tempoh sama pada tahun lepas," katanya.

Dr Hassan berkata sebanyak 90 lokaliti wabak denggi dipantau di 17 daerah seluruh negara yang menyaksikan peningkatan 19 lokaliti berbanding minggu sebelumnya.

"Tidak ada lokaliti 'hot spot' ditemui tetapi sebanyak 83,600 premis telah diperiksa dengan 1,078 premis didapati terdapat pembiakan Aedes pada minggu lepas," katanya.

Beliau berkata jumlah premis yang positif meningkat sebanyak 44 peratus berbanding minggu sebelumnya.

"Saya harap agensi kerajaan, swasta mahupun Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta masyarakat setempat berganding bahu bekerjasama dalam aktiviti pencegahan dan kawalan denggi seperti merancang aktiviti gotong-royong," katanya.


Dr Hassan berkata sempena musim cuti perayaan minggu ini, masyarakat yang pulang ke rumah masing-masing perlu membersihkan kawasan persekitaran dari tempat pembiakan Aedes kira-kira sepuluh minit.

"Sila sembur setiap ruang dengan racun aerosol bagi membunuh nyamuk dewasa yang berehat di dalam rumah semasa ketiadaan penghuninya," katanya. -- BERNAMA

0 Komentar untuk "459 kes demam denggi dilapor pada minggu ketiga 2012"

 
Copyright © 2014 XiNzeRy Dot My - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info