XiNzeRy Dot My

XiNzeRy.My

PAS, PEMBELA, PERKASA demo bantah 'Seksualiti Merdeka'



Pemuda PAS Wilayah Persekutuan akan mengadakan demonstrasi membantah program 'Seksualiti Merdeka' selepas solat Jumaat di Masjid Kampung Baru esok.

Sehubungan itu, ketua penerangan Dewan Pemuda PAS Wilayah, Herman Samsudeen menjemput umat Islam, termasuk NGO yang membantahnya hadir menyertai demonstrasi tersebut.

Sehingga ini, program tersebut dibantah oleh Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN), yang membuat laporan polis semalam.

ACCIN dianggotai 17 NGO Islam termasuk Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Al-Hidayah, Darul Fitrah, MACMA, IIS, MUAFAKAT, ISMA, AL-Hunafa, IMAN, Jam'iyah, Darusshifa, WAMY, GEPIMA dan PERKIM.

Turut membantah program itu ialah Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA).

Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali dilaporkan berkata Seksualiti Merdeka 2011 yang memperjuangkan kesaksamaan gender untuk golongan homoseksual dan lesbian boleh mengancam keselamatan negara.

Mengulas lanjut, Herman berharap PERKASA juga akan hadir menyertai demonstrasi membantah program itu di Masjid Kampung Baru esok.

Katanya, bantahan itu dibuat dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS pusat.

"Ketua Pemuda PAS pusat, Nasrudin Hassan telahpun meminta semua Pemuda PAS negeri supaya turut mengadakan bantahan selepas solat Jumaat," katanya.

Menurut Herman, Pemuda PAS Wilayah Persekutuan merupakan yang pertama menyahut permintqaan Nasrudin itu, dengan mengadakan bantahan esok.

Antara pemimpin yang dijangka hadir esok termasuk Nasrudin; ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad dan barisan kepimpinan Pemuda PAS wilayah.

Menjawab soalan, Herman berkata pihaknya tidak memohon permit polis kerana bantahan itu akan diadakan dalam kawasan perkarangan masjid.

Seksualiti Merdeka adalah festival tahunan yang meraikan hak asasi manusia rakyat yang terdiri daripada pelbagai orientasi seksual dan identiti jantina.

Ia dianjurkan oleh sekumpulan gabungan longgar NGO, artis, aktivis dan individu sejak 2008.

Program festival itu, termasuk forum, ceramah, bengkel, pelancaran buku, pameran seni dan persembahan.

Ia akan berlangsung dari 9 hingga 13 November dan dijangka dirasmikan oleh Ketua BERSIH 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan.
Sementara itu, Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) pula akan mengadakan demonstrasi membantah Seksualiti Merdeka selepas solat Jumaat di Masjid Negeri Shah Alam esok.

Dalam satu kenyataannya, PEMBELA membantah sekeras-kerasnya tindakan penganjur, penajaga dan penyokong program yang didakwanya merencanakan agenda gerakan homoseksual di Malaysia.

Menurutnyam penganjur program itu juga ingin mencabar kedudukan perlembagaan yang menyatakan Islam sebagai agama persekutuan.

Demonstrasi itu, tambahnya, adalah bertujuan membantah gerakan tersebut serta rancangan mereka untuk mendesak pemerintah supaya memberi pengiktirafan kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). malaysiakini
0 Komentar untuk "PAS, PEMBELA, PERKASA demo bantah 'Seksualiti Merdeka'"

 
Copyright © 2014 XiNzeRy Dot My - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info