XiNzeRy Dot My

XiNzeRy.My

Bayi Lelaki Ditemui Dalam Beg Yang Bergerak-gerak



ALOR SETAR: Seorang jururawat tidak menyangka beg kain berbelang merah putih di bawah pokok yang ditemuinya berhampiran kawasan letak kereta di belakang Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar, Lebuhraya Darulaman, di sini, semalam, mengandungi bayi lelaki baru dilahirkan.


Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, bayi dalam keadaan berbungkus dengan tuala mandi berwarna putih itu dipercayai baru empat jam dilahirkan.


Bayi seberat 2.6 kilogram (kg) yang masih bertali pusat itu ditemui jururawat berkenaan yang baru saja meletakkan kenderaan di kawasan itu untuk memulakan tugasannya di klinik.


Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Baharom Abu berkata jururawat itu membuka bungkusan itu dan terkejut apabila mendapati ada bayi lelaki di dalamnya.


“Bayi yang masih bertali pusat itu dipercayai baru empat jam dilahirkan dan mukanya masih kemerahan selain tangannya dihurungi semut. Bayi itu ditemui di bawah pokok berhampiran kawasan letak kereta di belakang Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar, Lebuhraya Darulaman, di sini.


“Jururawat itu ternampak beg kain berbelang merah putih di bawah pokok berhampiran yang kelihatan bergerak-gerak sebelum menghampirinya. “Dia mendapati seorang bayi lelaki yang hanya berbungkus dengan tuala mandi berwarna putih di dalam beg berkenaan dan terus membawanya ke klinik sebelum menghubungi pihak polis,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
0 Komentar untuk "Bayi Lelaki Ditemui Dalam Beg Yang Bergerak-gerak"

 
Copyright © 2014 XiNzeRy Dot My - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info