XiNzeRy Dot My

XiNzeRy.My

Nabil Mahu Anak Cepat


TUTUP buku lama, buka buku baru. Itulah azam pelawak dan pelakon popular, Nabil Ahmad, 28, apabila memutuskan untuk menamatkan zaman bujang dengan gadis pilihannya, Nazirah Ayub, 23 (Nazira).

Pasangan mempelai yang selamat diijabkabulkan Khamis lalu itu akan meraikan hari bahagia mereka bersama 1,500 tetamu membabitkan sanak-saudara dan sahabat-handai kedua-dua pihak di Bandar Cahaya Digital, i-City, Shah Alam, malam ini.

Majlis resepsi bertemakan alam khayalan itu menyaksikan merpati dua sejoli ini dalam busana rona putih gading rekaan Wazira Zainal. Di tengah gemerlapan neon aneka warna, kelainan disajikan menerusi tema luar dari norma perkahwinan masyarakat Melayu ini pasti meninggalkan kenangan manis buat tetamu.

“Alhamdulillah, Nazira kini suri hidup saya. Syukur apa yang kami rancang berjalan lancar dan saya berterima kasih kepada isteri serta syarikat jururunding perkahwinan kami, Dirich Vision Sdn Bhd kerana cekap merencana dan melaksanakan apa yang dipersetujui. Persiapan dilakukan dalam tempoh dua bulan dan saya jarang dapat membantu berikutan jadual seni padat.


“Saya bertuah kerana ramai sudi menaja hari bahagia saya. Biarpun ada yang saya bayar, harga diletakkan rendah berbanding asal.


“Terima kasih saya ucapkan kepada Wazira Zainal kerana menyediakan persalinan cantik untuk majlis akad nikah dan bersanding, Den Wahab (pakaian bapa kedua-dua mempelai), Kamarimi Bridal Sense (busana pra perkahwinan), Persada Embun (pelamin), Mutiara Catering (juadah majlis resepsi), Anjung Eksklusif (hidangan akad nikah), Khemah Syakilla (kanopi) dan Family Bakery (kek perkahwinan).

“Tidak lupa juga Imej Kad Lestari (kad kahwin), LH Media TV (rakaman video), Callas Callas dan Splye Wedding (cenderahati tetamu),” kata Nabil.

Mengulas lanjut tema alam khayalan, kata Nabil, pada mulanya dia dan Nazira mahukan perkahwinan dalam taman, namun jururunding perkahwinan mereka mencadangkan konsep itu kerana ia lebih kena dengan suasana bandar cahaya i-City.

Bahkan, tidak pernah terlintas majlis mereka sebesar itu kerana perancangan awalnya hanya mahu diraikan dalam suasana sederhana yang dihadiri 500 jemputan.

“Saya mahukan kelainan, sebab itu saya memilih i-City sebagai lokasi majlis persandingan. Banyak perkara yang kami pertimbangkan semula selepas berbincang dengan jururunding perkahwinan dan kami bersetuju dengan tema alam khayalan.

“Tema ini memang kena dengan suasana lokasi dan kehendak kami yang mahukan majlis santai tetapi dikenang kerana keunikannya.

“Memandangkan hanya ada satu majlis resepsi, kami putuskan untuk mengundang 1,500 jemputan. Jadi tidak ralat kerana saudara-mara dan sahabat-handai kedua-dua pihak dapat hadir,” katanya.

Seiring dengan kematangan usia, Nabil yakin langkah diambil adalah yang terbaik. Molek benar mengucapkan selamat tinggal dunia solo kerana dia bersedia memikul tanggungjawab sebagai suami dan mahu hidup dalam keberkatan.

“Perkahwinan perkara dituntut dalam agama, jadi apabila sudah bertemu yang sesuai, usah ditangguh. Perkahwinan ini diharap dapat menutup semua cerita negatif mengenai saya. Penat apabila kisah cinta saya jadi bahan cerita, malah dengan siapa saya rapat pasti diperkata.

“Jujur, sebagai manusia, saya mahu hidup normal seperti orang lain.
Alhamdulillah, dengan Nazira saya dapat merasa cinta dalam erti kata sebenar.
Paling penting, tidak perlu risau mengenai publisiti berlebihan kerana dia bukan artis.

“Saya suka keadaan sekarang, lebih tenang dan menyenangkan. Kisah peribadi saya tidak lagi jadi perhatian dan kalaupun ada yang bertanya, ia mengenai kerjaya dan projek terbaru. Itu lebih baik dan selesa bagi saya. Harap keadaan ini berterusan,” katanya.

Mengulas perihal jodohnya, Nabil berkata, dia mengenali Nazira enam tahun lalu, namun ketika itu tiada rasa cinta atau suka. Sekadar bertegur sapa dan bertanya khabar apabila bersua muka.

Baik dia mahupun Nazira mengemudi haluan hidup mengikut cara masing-masing hinggalah awal tahun lalu apabila tiba-tiba jejaka yang berjaya memikat hati ramai insan menerusi lawak bersahajanya itu tergerak hati untuk menghubungi Nazira.

Kebetulan tatkala itu hatinya sepi tanpa cinta, jadi kehadiran Nazira memberi semangat baru dalam dirinya. Sejak itu persahabatan pasangan ini kian erat dan mereka tidak betah berjauhan tanpa khabar berita.

“Nazira adalah adik ipar sahabat karib saya. Sepanjang mengenalinya, kami tidak pernah berhubung. Sekadar bertegur apabila berkunjung ke rumahnya pada hari raya. Tak tahulah macam boleh rapat pula, barangkali sudah tertulis dia jodoh saya. Januari lalu saya tiba-tiba teringatkan Nazira dan menghubunginya.

“Sikapnya yang pandai berbual dan bergurau buat saya rasa selesa. Apabila bersama dengannya, saya rasa sangat gembira dan tenang. Kalau tak mendengar suaranya sehari, macam ada yang tidak kena.

“Dalam tempoh sesingkat lima bulan, persahabatan yang terjalin bertukar kepada perasaan kasih. Saya yakin dialah jodoh saya dan usai saja program Maharaja Lawak, saya menghantar rombongan merisik.

“Alang-alang dapat RM150,000 hasil menang tempat ketiga dalam program itu, baik kahwin cepat. Atas nasihat orang tua, kami tidak bertunang dan setuju berkahwin terus,” katanya.

Tambah Nabil, Nazira memiliki ciri-ciri wanita idamannya - cantik, berkulit putih dan pandai mengambil hati orang tua. Namun yang buat dia lebih terpanggil untuk menyunting wanita ini sebagai suri hidupnya adalah kesederhanaan dan sikap Nazira yang dapat menerima baik buruknya seadanya.

“Saya bertuah kerana Nazira sekeluarga menerima saya seadanya. Biarpun diri pernah dipalit kontroversi, mereka terima saya bahkan Nazira tidak pernah ungkit benda lama. Itu yang buat saya semakin yakin dengannya. Maklum saja, hidup anak seni tidak yang manis saja diperkata dan jika hatinya tidak kuat, susah juga.

“Saya sangat lega kerana hajat mencari pasangan hidup yang tidak ada kena mengena dengan industri diperkenan Ilahi. Dialah orang paling tepat dan miliki pakej yang saya mahu. Orangnya cergas, sihat, tidak terlalu manja dan minta dimanjakan,” katanya yang mahu menimang cahaya mata secepat mungkin.

Ditanya mengenai bulan madu, sambil ketawa panjang Nabil berkata, sekadar di rumah kerana jadual kerjanya tidak mengizinkan. Bagaimanapun, hujung tahun ini dia akan membawa isteri mengerjakan umrah dan itulah bulan madu mereka.

Sementara itu, Nazira berkata, sama seperti Nabil, dia tidak pernah terfikir akan disatukan sebagai suami isteri. Namun, sikap sempoi, manja dan prihatin Nabil berjaya membuka pintu hati bekas pramugari itu untuk menerima lamaran juara Raja Lawak musim kedua itu.

“Macam mana saya kenal Nabil sebelum menyertai Raja Lawak, macam itulah Nabil sekarang. Di sebalik sikap gila-gila, dia bijak bercakap, pandai merancang masa depan dan matang. Pendek kata, bersamanya buat saya ceria dan bahagia,” katanya.

0 Komentar untuk "Nabil Mahu Anak Cepat"

 
Copyright © 2014 XiNzeRy Dot My - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info