XiNzeRy Dot My

XiNzeRy.My

Dihalau isteri kerana miskin


GOMBAK: Hanya kerana tidak mampu memberi kemewahan selepas enam tahun berkahwin, seorang isteri menghalau suaminya dari rumah mereka di Taman Seri Gombak, di sini dua hari sebelum sambutan Deepavali lalu.
Lebih menyedihkan, teksi yang menjadi sumber rezeki suaminya turut dirampas.

Sebaik dihalau, mangsa yang berusia 40 tahun terpaksa menumpang tidur di perhentian bas di kawasan berhampiran.
Bagaimanapun, lelaki itu pulang semula ke rumahnya untuk berbincang dengan isterinya secara baik namun dia dipukul adik iparnya yang berang sebaik mendapati mangsa pulang ke rumah itu, kelmarin.

Mangsa yang sedih dan buntu dengan insiden itu terpaksa memberitahu ibunya sendiri untuk meminta bantuan.

Sumber berkata, mangsa dipujuk pulang ke rumah ibunya di Selayang, namun dia sekali lagi diserang keluarga isterinya di depan rumah keluarganya itu dan diminta menceraikan isterinya kerana tidak mampu memberi kemewahan.
“Dalam kejadian yang berlaku jam 10 pagi itu, mangsa dikejutkan dengan kehadiran isteri, ibu mentua dan adik ipar yang menjerit dari luar rumah meminta mangsa menceraikan isterinya.

“Ibu mangsa dikatakan mententeramkan ketiga-tiga mereka namun dimaki-hamun selain diugut akan dicederakan dengan kayu dan cangkul yang dipegang adik ipar mangsa,” katanya.
Difahamkan, mangsa tidak mahu berbuat demikian kerana mereka mempunyai seorang anak lelaki yang masih kecil walaupun sering dihalau isterinya beberapa kali.

Menurutnya, beberapa jiran yang menyaksikan kejadian itu cuba membantu mententeramkan keadaan dan menasihati keluarga isterinya beredar.

“Isteri dan adik ipar mangsa dikatakan turut merampas telefon bimbit mangsa.

“Adik ipar mangsa dikatakan turut mengugut mahu mencederakan mangsa sekiranya masih berdegil tidak mahu menceraikan kakaknya,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.
0 Komentar untuk "Dihalau isteri kerana miskin"

 
Copyright © 2014 XiNzeRy Dot My - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info