XiNzeRy Dot My

XiNzeRy.My

Tonton filem pendek di Maskara Shorties


Cabang seni perfileman tempatan kini giat berkembang dengan pelbagai genre, falsafah dan aliran pemikiran dikemukakan di dalam setiap karya filem yang dihasilkan. Setiap imej yang ditayangkan di layar membawa pelbagai makna yang mampu ditafsirkan dalam pelbagai maksud.

Filem sewajarnya tidak diangkat sebagai satu bentuk hiburan semata-mata, tetapi filem lebih sekadar itu. Filem adalah tentang mencorak hidup, mewarnai suasana dan menjadi perantara penting dalam menyampaikan ilmu.

Di Malaysia selain selalu memetik dan memberikan peluang kepada pembikin filem arus perdana, kita juga seharusnya peka dengan kreativiti setiap manusia dalam menghasilkan karya terbaik. Bergerak dengan semangat itu, kumpulan Sindiket Sol-jah dengan kerjasama Sekretariat Penulis-Penulis Blog, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), akan menganjurkan acara tayangan filem pendek ala ‘wayang pacak’ yang diberi nama ‘Maskara Shorties’.

Acara santai ini akan diadakan pada Sabtu, 24 September ini, bermula jam 8 malam, di kawasan lapang Rumah Pena, Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur. Ini adalah tahun keempat berturut-turut acara tayangan filem pendek ini diadakan.

Maskara Shorties dilihat sebagai satu acara yang memberi ruang kepada pembikin dan pengarah filem amatur serta mapan untuk menayangkan hasil kreativiti mereka secara percuma. Mengambil konsep tayangan santai, pengunjung digalakkan membawa makanan, minuman sendiri serta tikar untuk dijadikan alas duduk.

Tahun ini menyaksikan penyertaan pengarah filem pendek dari Singapura yang dicalonkan untuk pelbagai anugerah antarabangsa dan pengarah terkenal tanah air, Mamat Khalid.

Filem-filem pendek menarik yang akan ditayangkan, termasuk promo filem Bunohan arahan Dain Said yang dilakonkan oleh Zahiril Adzim, Sofi Jikan, Bront Palarae, Faizal Hussein, Amerul Affendi dan Tengku Azura serta tayangan 20 minit sedutan dari filem Rock Oo yang merupakan kesinambungan dari filem Rock oleh Mamat Khalid menampilkan Que Haidar dan Pekin Ibrahim selaku pelakon utama. Selain itu, pengarah yang memenangi anugerah KL 48 Hour Film Project pada 2010 iaitu Al Hafiz Burhanuddin turut menyertai Maskara Shorties melalui filemnya, Skodeng.

Maskara Shorties semakin mendapat tempat dalam kalangan pengkarya muda di mana tahun ini Sindiket Sol-jah menerima puluhan filem yang memohon untuk menyertai acara ini, namun sehingga kini hanya 20 filem yang menepati syarat ditetapkan.

Kepada semua peminat, pengkritik, penggiat, penonton dan pembikin yang mahu menyaksikan kesegaran dalam penyampaian idea filem boleh menjengah ke Rumah Pena Kuala Lumpur pada 24 September ini untuk menyaksikan acara tayangan filem tanpa prejudis dan diskriminasi martabat, Maskara Shorties.
0 Komentar untuk "Tonton filem pendek di Maskara Shorties"

 
Copyright © 2014 XiNzeRy Dot My - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info