XiNzeRy Dot My

XiNzeRy.My

Pemilik kedai kopi hampir putus tangan diserang kumpulan bersenjatakan parang

GEORGETOWN: Seorang pemilik kedai kopi hampir putus pergelangan tangannya selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dan kayu di kedainya Lorong Delima 5, Island Glades, di sini malam tadi.

Loe Hock Guan, 37, kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan keadaannya dilapor stabil.
Kejadian pada pukul 11 malam itu turut menyebabkan seorang pelanggan yang dikenali sebagai Tan Soon Lye, 55, cedera di tangan dan dirawat di hospital swasta.

Ketika kejadian, Loe dipercayai duduk di kaunter pembayaran dan tujuh lelaki berumur dalam lingkungan 20-an yang menyerang pemilik kedai itu turut menyelerakkan meja dan kerusi dalam kedai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata polis kini giat mengesan kesemua suspek di kawasan berkenaan dan dua daripada mereka berasal dari Gelugor dan Padang Tembak.

Beliau berkata hasil siasatan melalui kamera litar tertutup (CCTV) di kedai berkenaan menunjukkan kesemua suspek memakai topi keledar, jaket kulit berwarna coklat, biru dan t-shirt hitam.

"Siasatan awal polis mendapati seorang suspek kumpulan terbabit mengambil wang tunai lebih kurang RM1,000 daripada mesin duit dan sebatang besi keluli turut dijumpai di tempat kejadian," katanya.

Motif serangan itu dipercayai berpunca daripada mangsa dan pekerjanya menegur dua lelaki kumpulan terbabit yang mabuk teruk di kedainya, katanya. -BERNAMA
0 Komentar untuk "Pemilik kedai kopi hampir putus tangan diserang kumpulan bersenjatakan parang"

 
Copyright © 2014 XiNzeRy Dot My - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info