XiNzeRy Dot My

XiNzeRy.My

87 ditahan hadiri pesta liar



Anggota polis menguji air kencing sebahagian daripada peserta parti liar di sebuah banglo di pusat peranginan terkenal di Alor Gajah, awal pagi semalam.


ALOR GAJAH 16 Sept. - Tujuh pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) adalah antara 87 yang ditahan polis ketika leka menyertai parti dadah dan arak di sebuah banglo pusat peranginan terkenal di sini awal pagi ini.

Selain dalam keadaan mabuk, sebahagian besar daripada mereka yang ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 2.30 pagi itu turut berada dalam keadaan khayal selepas mengambil dadah.

Malah, dalam sebuah bilik di banglo tersebut pula terdapat pasangan yang berpelukan dalam keadaan mengghairahkan.

Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 35 tahun manakala pelajar IPT terlibat pula terdiri daripada tiga lelaki dan empat perempuan dari Johor, Terengganu dan Kuala Lumpur.

Ketika serbuan dilakukan, kesemua mereka tidak menyedari kehadiran polis kerana sedang leka menari dengan pasangan masing-masing selepas mengambil dadah.

Difahamkan, pesta liar itu dianjurkan oleh seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang menggunakan laman sosial Facebook untuk berinteraksi dengan semua peserta.

Serbuan diketuai Inspektor Risikan Operasi dan Tahanan, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik negeri, Cif Inspektor Mohd. Hisham A. Rahman bersama 14 anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri.

Menurut sumber polis, serbuan dibuat di sebuah banglo yang mempunyai lima bilik selepas menerima maklumat daripada orang awam.

"Bertindak daripada maklumat tersebut sepasukan polis membuat intipan sebelum membuat serbuan kira-kira pukul 2.30 pagi," katanya di sini hari ini.

Sumber itu memberitahu, seramai 34 orang ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 di mana 15 daripadanya positif mengambil dadah jenis syabu dan ganja.

Katanya, 19 lagi daripada mereka termasuk seorang wanita dan pelajar IPT ditahan kerana memiliki dadah.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Md. Azmi Othman ketika dihubungi mengesahkan serbuan dan tangkapan itu.

UMO

0 Komentar untuk "87 ditahan hadiri pesta liar"

 
Copyright © 2014 XiNzeRy Dot My - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info