XiNzeRy Dot My

XiNzeRy.My

2 lelaki lagak mahu datang beraya ragut suri rumah

KUANTAN: Dua lelaki yang segak berpakaian Melayu, kononnya mahu datang berhari raya di rumah 'Makcik Jenab', bertindak meragut seorang suri rumah yang sedang membersihkan laman rumahnya.

 Ketika kejadian 9.30 pagi di Sungai Koyan, dekat Raub, itu mengakibatkan mangsa, 35, mengalami kerugian RM7,000 selepas rantai leher dan seutas loketnya diragut dua lelaki terbabit.

 Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Superintendan Nordin Mustapha, sebelum kejadian, mangsa melihat kedua-dua suspek beberapa melintasi rumahnya dengan sebuah motosikal.

 "Suspek kemudian memberhentikan motosikal di depan rumah mangsa dan berpura-pura bertanyakan rumah 'Makcik Jenab', suspek beritahu dia dan rakannya hendak beraya di rumah 'Makcik Jenab'," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

 Suspek berusia lingkungan 20-an hingga 30-an itu kemudiannya bertindak meragut rantai leher mangsa.

 "Berlaku pergelutan antara suspek dengan mangsa sebelum salah seorang suspek tiba-tiba mengeluarkan sebilah parang dari dalam baju Melayu yang dipakainya," katanya.

 Mangsa yang tergamam kemudiannya membiarkan suspek meragut rantainya sebelum kedua-dua mereka melarikan diri.

 Beliau berkata mangsa kemudiannya membuat laporan di balai polis Sungai Koyan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.- Bernama
0 Komentar untuk "2 lelaki lagak mahu datang beraya ragut suri rumah"

 
Copyright © 2014 XiNzeRy Dot My - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info