Keputusan perkara itu diumumkan pada sidang akhbar bersama oleh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di akhir mesyuarat delegasi dua hala pada acara perundingan tahunan Malaysia-Indonesia di sini, semalam.
“Kami ketahui banyak saudara Indonesia yang bekerja di Malaysia. Oleh kerana itu, kami sepakat memberi perlindungan dan bantuan sebaiknya kepada tenaga kerja Indonesia.
“Kami juga bersepakat bahawa perubahan mengenai pengambilan dan penempatan tenaga kerja Indonesia yang ditandatangani pada 2006 mendatangkan perubahan positif kepada Indonesia. Insya-Allah, pada 1 Disember kami akan menormalisasikan hal ini,” kata Yudhoyono ketika mengumumkan hasil pertemuan itu.
Indonesia melaksanakan pembekuan sementara penghantaran pembantu rumah ke Malaysia pada 26 Jun 2009 berikutan beberapa kejadian penderaan terhadap pembantu rumah Indonesia oleh majikan Malaysia.
Berikutan itu, kedua-dua negara berunding sehingga kata sepakat dicapai dengan penandatanganan protokol meminda beberapa peruntukan dalam memorandum persefahaman 2006 itu, yang diadakan di Bandung pada 30 Mei lalu.
Bagaimanapun, penerapan makanisme sesuai bagi pelaksanaan protokol itu berhubung perlindungan kepada pembantu rumah Indonesia dan majikan mereka oleh Pasukan Petugas Khas Bersama, menyebabkan penarikan balik moratorium itu tertangguh sehingga sekarang.
Najib yang menyambut baik keputusan Indonesia itu berkata, persetujuan dicapai selepas kedua-dua negara menyelesaikan beberapa isu yang selama ini menjadi persoalan kepada proses membawa masuk pembantu rumah Indonesia.
“Semua masalah dan rintangan dapat diselesaikan. Laporan Pasukan Petugas Khas Bersama akan dibuat kepada saya dan Presiden Yudhoyono ketika Sidang Kemuncak Asean di Bali pada 17 dan 18 November ini.
“Kalau semuanya selesai, Insya-Allah tarikh moratorium itu ditarik balik pada 1 Disember ini,” katanya.
Ditanya mengapa tarikh 1 Disember dipilih, beliau berkata, jadual beliau serta Yudhoyono yang sibuk untuk mengadakan pertemuan semula dan tarikh ketika Sidang Kemuncak Asean di Bali memberi peluang kepada mereka bertemu kembali untuk pertemuan bilateral. Perdana Menteri turut mengingatkan bakal majikan di Malaysia supaya tidak mengkhianati kepercayaan diberikan Indonesia, yang bersetuju menghantar semula pembantu rumah ke Malaysia.
Indonesia adalah pembekal utama tenaga kerja di sektor tidak formal di Malaysia.
Najib berharap rakyat Malaysia tidak lupa membalas keikhlasan dan ketulusan Yudhoyono mempertimbangkan untuk menarik balik moratorium itu dengan kebaikan juga, bukannya dengan penganiayaan terhadap pembantu rumah mereka. - Bernama
0 Komentar untuk "Indonesia sedia bekal amah"